Saturday, May 23, 2009

Ikatan Suci Perkahwinan

Salam. Hari ini aku telah membaca satu luahan dan pendapat mengenai perkahwinan. Katanya perkahwinan itu umpama perjudian. Kalau menang, bahagialah perkahwinan itu dan sekiranya kalah, gagal lah sebuah perkahwinan itu. Perkara ini sebenarnya subjektif yang mana ianya bergantung kepada seseorang individu itu. Tetapi bagi aku, kita berbalik kepada niat sebenar ketika melangsungkan perkahwinan.
Kalau diikutkan, perkahwinan merupakan perkara yang sangat dituntut dalam agama Islam kepada lelaki atau perempuan yang berkemampuan dari segi fizikal dan rohani. Hukumnya wajib sekiranya seseorang itu berkemampuan dan tanpa berkahwin ia boleh mendatangkan maksiat. Sunat kepada yang berkemampuan dan dia tiada bimbang untuk terjerumus ke arah maksiat. Haram sekiranya tujuan perkahwinan hanyalah untuk menganiayai isteri dan makruh sekiranya tidak mampu tetapi tidak menyebabkan kemudaratan kepada isteri.
Aku pun bukanlah arif sangat mengenai hukum ini, namun cukuplah untuk aku memahami konsep perkahwinan tersebut. Aku sendiri tidak faham kenapa mereka yang sudah cukup syarat-syarat di atas masih tidak mahu mengambil langkah untuk membuat satu ikatan atau komitmen kepada pasangan. Lainlah jika mereka masih mencari-cari calon yang sesuai. Ini tidak, rasanya ikatan persahabatan yang bertahun-tahun itu cukup untuk meyakinkan kita mengambil langkah. Bagiku, tidak semestinya hubungan yang panjang jangkamasanya menjaminkan hubungan selepas berkahwin. Ini kerana setelah berkahwin barulah anda akan mengenali siapa sebenarnya pasangan anda. Tidak mustahil juga ia mengambil masa bertahun-tahun selepas berkahwin.
Bagiku juga berkahwin itu bukanlah semata-mata untuk nafsu tetapi lebih kepada teman untuk bersama di dalam susah dan senang. Hidup lebih bermakna sekiranya kita dapat berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan insan tersayang. Namun mungkin juga dengan peredaran zaman, mereka merasakan tanpa berkahwin pun semuanya dapat dirasai bersama. Tetapi percayalah, ianya tidak sama sekiranya kita sudah berkahwin jika dibandingkan dengan kehidupan "seperti" orang sudah berkahwin.
Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun perkenalan aku dan suamiku singkat namun aku bahagia bersamanya dan cinta kami mekar selepas berkahwin. Diharap ianya berkekalan sehingga ke akhir hayatku. Insya-Allah. Ameen.

No comments: