Monday, January 26, 2009

Ahmad Kamal vs Tengku Farah




Tahun baru menjelang lagi. Belum pun sempat tercapai azam yang ditanam pada tahun yang lepas, kini terpaksa pula memikirkan apakah pula azam untuk tahun yang baru ini. Nampaknya azam tahun ini ialah untuk melaksanakan mana-mana azam yang belum dapat dilaksanakan pada tahun lepas.
Tahun ini juga usia perkahwinanku akan menjangkau 6 tahun. Begitu cepat masa berlalu, rasanya seperti baru semalam perkahwinan aku berlangsung dengan meriahnya. Namun kehidupan kami masih lagi tetap berdua, berkasih sayang dan sesekali ada berselisih faham. Tetapi begitulah asam garam dalam berumahtangga.
Oleh kerana kami sudah lama berdua, sudah mula orang sekeliling mempersoalkan tentang kehadiran orang ketiga di dalam perkahwinan ini. Bukan orang ketiga untuk memusnahkan masjid yang dibina ini namun orang ketiga yang bertanggungjawab untuk mengeratkan lagi kasih sayang yang tersimpul rapi ini. Aku sendiri kadangkala merasa agak keliru memikirkan sama ada aku sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Adakah aku seorang manusia yang amat mementingkan diri kerana tidak mahu untuk berkongsi waktu tenangku bersama insan yang lain. Adakah aku juga mementingkan diri untuk tidak mahu memikirkan betapa rindunya suamiku kepada tangisan si anak kecil. Entahlah, aku sendiri pun tidak mahu benar-benar memikirkan persoalan yang sejak akhir-akhir ini makin menyesakkan fikiran ini.
Walaubagaimanapun aku amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang amat memahami dan menyayangi diriku. Tidak pernah sekali pun di bibirnya mengeluarkan perkataan yang mengguris hati ini. Maka aku berdoa kepada Allah S. W. T. agar dapat dikurniakan seorang anak yang dikandung kepada hambamu ini. Ameen...

No comments: